Dasar ICTR KDRM |
2007 TAHUN CORE BUSINESS
Tumpuan usaha akan ditujukan kepada proses reengineering terhadap prosedur – prosedur utama core business Jabatan Kastam yang kritikal bagi mencapai empat objektif; iaitu mempercepatkan delivery system Kastam, meningkatkan tahap fasilitasi kepada pedagang dan pengusaha, meningkatkan tahap keselamatan barang dagangan dan mengelakkan berlakunya tahap kebocoran dalam sistem pungutan hasil. Sehubungan itu, semua Timbalan Ketua Pengarah Kastam diminta berbincang dengan pegawai –pegawai mereka termasuk pasukan OD bagi merangka perancangan 2007 dengan menjadikan pencapaian tahun 2006 sebagai asas. Apa yang dirangka untuk tahun 2007 kelak perlu menunjukkan suatu kesinambungan kepada tindakan tahun sebelumnya dan merupakan langkah ke hadapan untuk mencapai wawasan menjadikan perkhidmatan Kastam dihormati, diiktiraf dan bertaraf dunia. Perkara ini dinyatakan oleh YBhg. Dato’ Sri Haji Abd. Rahman Abd. Hamid, Ketua Pengarah Kastam dalam Ucapan Utamanya di Mesyuarat Pengarah – Pengarah Kastam Malaysia Kali Ke-54 yang diadakan di Hotel The Zone Regency Hotel, Johor Bahru. Katanya, kejayaan yang telah dicapai melalui berbagai usaha ke arah menambah pungutan hasil seperti Ops Hasil, Pelesenan In-Situ dan sebagainya perlu dilanjutkan dan dilaksanakan seawal tahun. Seterusnya, beliau mengarahkan operasi – operasi hasil yang telah dikenalpasti itu hendaklah dilaksanakan pada bulan Januari hingga Mac 2007 kerana selepas itu tumpuan akan diberikan terhadap menguatkuasakan pematuhan dan penambahbaikkan prosedur. Tambah beliau: “ Sistem kawalan agen berelektronik di Pelabuhan Kelang telah diluluskan peruntukannya oleh kerajaan. Sistem ini perlu dipanjangkan ke seluruh Negara khususnya di Johor Bahru, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Pasir Gudang, Pulau Pinang, Pelabuhan Sabah dan Pelabuhan Bintulu di Sarawak. “ Mengenai sistem verifikasi, saya percaya usaha – usaha sedang giat bagi melaksanakan sistem ini dan saya mengambil maklum keperluan peruntukan RM50 ribu bagi sistem pengurusan risiko diintegrasikan dengan SMK bagi mendapat input maklumat yang cepat dari sistem Jabatan “. Walau bagaimanapun beliau mengingatkan, walaupun Tahun 2007 diisytiharkan ‘Tahun Core Business’ namun usaha – usaha memantapkan tahap Integriti, Teknologi dan Rakyat akan diteruskan kerana aspek tersebut merupakan penyokong utama kepada perlaksanaan Core Business Jabatan yang lebih cekap dan berkesan. Oleh itu, program memperkasakan keupayaan Jabatan dalam penguatkuasaan, program membudayakan sikap menyegerakan tindakan dan program meningkatkan tahap pematuhan di kalangan anggota Jabatan akan menjadi agenda utama dalam pembangunan Integriti. Sebelum itu dalam ucapannnya, Dato’ Sri Haji Abd. Rahman turut menyifatkan tahap pelaksanaan aktiviti pada tahun 2006 telah mencapai objektifnya. Dalam tempoh 10 bulan pertama ini, katanya, program ICTR telah menunjukkan kesan yang ketara dan boleh dijadikan asas kepada pembangunan Jabatan pada masa hadapan. Masalah penerimaan atau kefahaman mengenai dasar ICTR itu pula, tambah beliau, sudah tidak wujud lagi apabila rata – rata pegawai Kastam sudah faham tentang matlamat, tujuan dan mekanisma yang dirangka walaupun baru diperkenalkan pada 13 Januari yang lalu. “ Senario penerimaan ini, bagi saya agak luar biasa, kerana pemahaman dan penerimaan dasar pembangunan P.M.S dan P.P.P yang diperkenal pada tahun 1980-an dan 1990-an dahulu pun tidaklah seluas dasar ICTR ini. “ Di antara faktor pendorong kejayaan di tahap ini ialah peranan PKN dan Pasukan OD yang lebih fokus, komited dan mematuhi garis panduan yang diberi “, katanya. (Sumber : Petikan dari Majalah SEPAKAT Kastam Diraja Malaysia, Terbitan Unit Perhubungan Awam, Putrajaya Bil.3 Disember 2006) |
|
| Login |